Thursday, July 5, 2007

Pemusnah Impian??

“Assalamualaikum”,

Terpacul ungkapan keramat yang di dalamnya merangkumi ucap selamat dan doa tulus dan kudus. Aku membuka mataku perlahan-lahan. Mataku masih perit lantaran menerima pancaran cahaya secara mendadak. Terasa seakan mataku menyedut masuk segala cahaya dari dalam bilik dingin itu. Pedih dan perit sekali.

“Dari mana suara itu?”, bisikku pada diriku sambil bola mataku mengimbas ke sekeliling mencari-cari arah datangnya suara itu. Terasa suara itu terlalu dekat.

“Wa alaikumussalam”. Dalam kebingungan salamnya bersambut jua.

Mata saling berpandangan. Seakan ada sekelumit rasa kemesraan walau dalam keterasingan. Seakan ada secebis rasa persaudaraan yang mendekatkan jarak dan menghilangkan sempadan di antara kami.

“Seperti pernah kulihat orang ni”, desis hatiku.

Bola mataku berpusing-pusing dan naik turun, merenung orang tua yang kurus melidi dengan pakaian compang-camping. Bau hapak dan hamisnya menusuk lubang deria bau ku. Dan, janggut dan kumisnya dibiar tumbuh meliar, tak terurus.

“Tapi…”, terpacul satu perkataan dari mulutku, berbaur dengan rasa kehairanan. Keningku bagai diangkat-angkat oleh rasa keghairahan ingin tahu yang berbuak-buak.

“Aku tahu. Kau tak mengenali aku kan?”Senyum sumbing. Dalam ertinya. Matanya merenung mataku. Tajam dan penuh pengertian.

“Aku adalah sebahagian dari kau.”
“Malah aku adalah kau.”

“Ah! Masa kan engkau adalah aku? Mana mungkin. Maafkan aku, orang tua. Memang rupa kau seiras ku tapi kau tak mungkin aku. Tidak kah kau lihat perbezaan kita?”

“Dan, kalau benar sekalipun, perlu apa kau datang kemari? Apa yang kau mahu dari ku?”

Ketawanya mengekek bagai mengejek dan memperlekehkan aku. Matanya menelanjangkan tubuhku.

“Aku datang untuk menuntut hak aku.”

“Hak kau? Tapi, aku tidak berhutang apa-apa dengan sesiapa. Apa hak yang kau ada ke atas diriku?”

Ketawa lagi. Bingit telingaku. Ku rasa semacam mahu saja aku jeritkan ke telinganya, biar dia dapat rasakan apa yang ku rasa.

“Aku adalah janji-janjimu.”
“Aku adalah impian mu.”
“Aku adalah tanggungjawabmu.”
“Aku adalah kesetiaanmu.”

Dia berhenti seketika dan menarik nafas dalam-dalam. Aku semacam menunggu dia menyambung. Payah untuk ku menangkap dan memahami butir-butir cakapnya. Pelik.

“Kau telah terlalu jauh menyimpang dari hakikat kejiwaanmu. Hakikat yang menjadikan kau itu kau. Kau telah lupakan aku dan kau telah lupakan dirimu.”

“Masih kau ingat janji-janjimu? Kau berjanji ingin menjaga Ayah dan Ibu. Adik-adikmu.”

“Kau masih ingat ketika kau berlutut di pusara Ayah yang ketika itu tanahnya masih merah. Kau berjanji ingin meneruskan tanggungjawab Ayah menjaga Ibu dan membantu adik-adikmu.”
“Tapi…” suaraku seakan tersekat.

“Tapi apa? Apa alasan mu?” bentaknya keras.

“Kau mahu menyalahkan masa kau yang sempit lantaran kesibukan kau bekerja? Lantaran melayan karenah anak-anak mu? Lantaran mengulit isterimu yang gebu?”

“Lantas kau tiada kelapangan untuk menjenguk ibu tua mu atau menelefonnya bertanya khabar. Lantas kau terlalai untuk menziarahi dan membasahi pusara ayahmu dengan air mawar. Lantas kau tidak sempat untuk mengotorkan tanganmu mencabut anak-anak lalang dan rumput yang tumbuh meliar.”

“Terlalu sibukkah kau sehingga engkau tidak sempat untuk menghadiahkan Al fatihah dan selawat untuk ayahmu?”

“Ada kau hubungi adik-adikmu? Pernah kau tanyakan keadaan mereka? Berduitkan mereka? Atau, adakah mereka hidup dengan berlaukkan kicap? Atau mee segera sebagai satapan makan malam mereka yang paling istimewa?”

Aku terdiam. Terpaku. Seakan hilang suaraku untuk berkata-kata. Peluh dingin merembes keluar dari liang romaku. Takut dan malu bagai menjadi satu rasa yang kini menghuni dadaku. Kesalku berada di puncak. Aku rasa seperti aku telah ditelanjangkan.

“Kau yang menyebabkan aku begini. Dulu kau manusia yang keras dan tegas. Tekadmu bagai satu tunjang yang kukuh. Kau bagai pokok yang rimbun, melindungi dan menguatkan orang-orang di sekelilingmu.”

“Zon keselesaanmu yang terlalu melalaikan kau. Terlalu enak dan terlalu selamat. Tiada cabaran. Lantas auramu terlalu lemah lagi melemahkan. Orang di sekelilingmu tidak mendapat apa-apa dari mu melainkan kelemahan mu.”

“Masih ingatkah engkau akan cita-citamu. Engkau mahu menjadi seorang yang terkenal. Kau mahu jadi penulis. Mana tekadmu? Mana cita-citamu? Mana impianmu? Mana bukumu?”

‘Kau mahu uruskan rumah kebajikan untuk anak yatim. Seperti Ustazah Salimah yang menguruskan rumah anak yatim yang kau selalu kunjungi saban minggu. Masih kau ingat hilai ketawa anak-anak malang itu setiap kali ketika kau tiba? Dan tangis sedih mereka ketika kau mahu pulang?”

“Kau tak lagi mengunjungi rumah anak yatim itu. Anak-anak kecil itu tidak lagi kau hiraukan. Berlaukkah makan mereka? Berselimutkah tidur mereka? Sempurnakah pembelajaran mereka? Berbukukah mereka? Apakah mereka masih makan 3 kali sehari dan minum petang bersama pisang dan keledek goreng? Apa kau peduli? Itu nasib mereka.”

“Kau yang memusnahkan impian mu sendiri. Mimpimu hitam kelam bagai malam tiada berbintang. Impian mu terperosok jauh di bawah aras bumi sehingga terlalu jauh untuk kau sendiri merangkak keluar dari situ.”

“Sedarlah.”

Sayup-sayup kedengaran suara-suara manusia yang ku rasakan terlalu asing. Cahaya semakin terang. Ku rasakan tubuhku kejang dan lemah. Seakan tiada upaya aku untuk membuka mataku. Seluruh badanku sakit. Dan, peluh dingin tambah membekukan anggota badanku. Aku dapat merasakan mata dan pipiku bergenang air mata.

“Syukurlah, abang selamat. Anak-anak kita dalam perjalanan ke mari. Pembedahan abang tadi tu berjaya. Ini Dr. Kamil. Pakar bedah dalam pembedahan tadi.”

Chazz - ketika kemelayuanku datang menyapa

No comments: